fb fb fb fb fb

KPM bina sekolah terapung demi pastikan akses pendidikan dipertingkat

Sesi libat urus KPM bersama masyarakat orang asli Tasik Temenggor, Gerik untuk memperkenalkan inisiatif sekolah terapung - Foto KPM

KUALA LUMPUR, 12 Julai - Kementerian Pendidikan (KPM) kini sedang dalam usaha untuk mewujudkan inisiatif sekolah terapung di beberapa kampung di Perak.

KPM dalam satu kenyataan di laman Facebook hari ini yang turut dikongsi Menterinya Fadhlina Sidek, memaklumkan inisiatif itu khusus untuk memastikan akses pendidikan dapat dipertingkatkan.

Sekolah terapung berkenaan akan dibina di empat kampung di daerah Hulu Perak iaitu Kampung Sungai Chueh, Kampung Sungai Tebang, Kampung Charok Bus, dan Kampung Sungai Chiong.

1207 NSL KPM SEKOLAH TERAPUNG 2Pengarah BPSH Datuk Amzan Abd Malek ketika sesi libat urus sekolah terapung baru-baru ini - Foto KPM

"Sekolah terapung yang dilengkapi dengan fasiliti untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran (PdP) ini dapat membantu menangani isu keciciran dalam kalangan murid Orang Asli yang berada di kawasan pedalaman," menurut kenyataan itu.

Menerusi sesi lawatan kerja yang diadakan baru-baru ini, KPM melalui Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak telah memperkenalkan inisiatif berkenaan kepada masyarakat setempat di kawasan berkenaan.

1207 NSL KPM SEKOLAH TERAPUNG 3Sesi lawatan kerja KPM turut bertujuan mendapatkan pandangan ibu bapa mengenai isu-isu pembelajaran - Foto KPM

Sesi lawatan itu juga bertujuan mendapatkan pandangan ibu bapa mengenai isu-isu pembelajaran yang berbangkit.

"KPM sentiasa berusaha untuk meningkat akses pendidikan untuk semua murid. Hanya menerusi pendidikan kehidupan dapat diubah menjadi lebih baik," menurut kenyataan itu lagi.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK