KUCHING, 12 Julai - Teknologi bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan dalam membina komuniti yang lebih maju, inklusif dan berdaya saing, demikian tegas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Menurutnya, dalam dunia yang sentiasa berubah mengikut arus transformasi digital, adalah menjadi tanggungjawab semua untuk terus meningkatkan kemahiran dan menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi semasa termasuk kecerdasan buatan (AI).
Program ‘AI for MY Future’ bertujuan memperkasa penggunaan teknologi AI dalam pelbagai sektor - Foto FB Fadillah Yusof
"Belajar tidak pernah mengenal usia. Selagi kita masih mampu dan berdaya, menuntut ilmu adalah satu usaha murni demi kebaikan diri, keluarga dan masyarakat," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Dalam hantaran itu beliau turut berkongsi mengenai tinjauannya ke program ‘AI for MY Future’ kawasan Parlimen Petra Jaya di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) di sini, hari ini.
Menurutnya, program yang menghimpunkan 150 peserta antaranya 51 pemimpin komuniti, 33 guru dan 24 usahawan itu bertujuan memperkasa penggunaan teknologi AI dalam pelbagai sektor.
"Melalui pendedahan kepada aplikasi seperti data analitik dan pelbagai templat pintar, peserta dilatih untuk mengoptimumkan aliran kerja, dokumentasi serta pelaporan.
"Usahawan pula berpeluang memperkukuh strategi pemasaran dan meningkatkan prestasi jualan, manakala para guru diberi pendedahan kepada kaedah pengajaran yang lebih efisien dan interaktif menggunakan teknologi digital," katanya.
Datuk Seri Fadillah berharap program seperti ‘AI for MY Future’ dapat diperluas di seluruh negara - Foto FB Fadillah Yusof
Datuk Seri Fadillah berkata, salah satu aspek yang menarik perhatian ialah penggunaan Microsoft Co-Pilot dalam latihan kepada ketua komuniti.
Menurutnya, inisiatif itu amat bermakna memandangkan ramai pemimpin komuniti menjalankan tugas mereka tanpa sokongan pentadbiran atau sumber manusia yang mencukupi.
“Dengan penguasaan alat seperti Microsoft Co-Pilot, mereka kini mampu melaksanakan tugas dengan lebih cekap dan profesional, termasuk penulisan laporan, penyediaan bahan komunikasi dan pengurusan data,” katanya.
Fadillah turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program berkenaan dan berharap inisiatif sedemikian dapat diteruskan serta diperluas agar manfaatnya dirasai lebih ramai lapisan masyarakat di seluruh negara.
"Pesan saya kepada semua peserta, dengan adanya pengetahuan dan kefahaman dalam AI serta transformasi digital, kita bukan sahaja berupaya mempertingkatkan keupayaan diri, malah dapat membawa perubahan yang bermakna kepada masyarakat," katanya.