fb fb fb fb fb

Elaun guru, pembantu Tadika Islam naik sehingga RM400 bulan ini

Foto FB Dato’ Dr Mohamad Abdul Hamid

GEORGE TOWN, 15 Jun - Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) mengumumkan kenaikan elaun guru Tadika Islam (TADIS) negeri sebanyak RM400 manakala bagi pembantu tadika, dinaikkan sebanyak RM200 menjadikan jumlah bulanan yang diterima masing-masing RM1,400 dan RM1,000 bermula bulan ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid selaku Yang Dipertua MAINPP yang mengumumkan berita baik itu menerusi kenyataan di Facebooknya berkata, kenaikan itu akan memanfaatkan seramai 40 guru TADIS dan 21 pembantu yang mendidik 874 murid di seluruh negeri.

Beliau menjelaskan, kenaikan ini antara hasil selepas penjenamaan semula Tadika Islam Mutiara MADANI (TIMM) yang diluluskan dalam Mesyuarat MAINPP dengan sasaran mewujudkan 30 lagi tadika berkenaan tahun ini.

"MAINPP juga menzahirkan komitmen memperkasakan tadika Islam di Pulau Pinang dengan meluluskan penjenamaan semula TADIS yang wujud sejak 1998 dengan peruntukan RM10,736,800 bagi tempoh lima tahun (2025-2029),” katanya.

Selain kenaikan elaun, guru TADIS juga menerima tawaran melanjutkan pengajian peringkat diploma secara percuma di Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang bagi meningkatkan profesionalisme guru tersebut.

“Sebanyak lima tempat ditawarkan bagi setiap semester kepada guru TADIS untuk mengikuti Diploma Pengajian Islam dengan dibiayai MAINPP bagi fasa pertama bermula kemasukan Julai, seperti yang ditawarkan kepada guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) negeri ini,” katanya.

Beliau menambah, langkah itu merupakan sebahagian daripada pelan tindakan Teras Pembangunan Pendidikan Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030 (APAI2030).

SYUHADA BINTI CHEK HASHIM