fb fb fb fb fb

Pembinaan Kapal Tempur Pesisir TLDM telah mencapai tahap 72 peratus siap

Perdana Menteri ketika meninjau pembinaan LCS di Lumut, Perak - Foto RTM

LUMUT, 15 Jun - Kementerian Pertahanan memaklumkan, kemajuan kerja pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang sedang berjalan di Lumut Naval Shipyard (Lunas) di Pangkalan Tentera Laut Diraja (TLDM) Lumut, telah mencapai tahap 72.43 peratus setakat 25 Mei lalu.

Dalam satu kenyataan kementerian itu menyebut, bagi memastikan tindakan intervensi dapat diambil secara proaktif oleh Lunas, pemantauan rapi bersama pemegang taruh dilaksana untuk memastikan projek tersebut dilaksana dengan lancar.

"Pemantauan rapi bersama pemegang taruh iaitu Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara diteruskan bagi memastikan tindakan intervensi dapat diambil secara proaktif oleh Lunas," jelas kenyataan itu.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membuat lawatan kerja di Pangkalan TLDM Lumut bagi meninjau kerja-kerja pembinaan dan mendengar taklimat berkenaan kemajuan semasa yang telah dicapai, melibatkan pembinaan lima kapal LCS milik TLDM itu.

Lawatan beliau diiringi Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.

Di samping itu, Kementerian Pertahanan turut memaklumkan, kapal tempur pesisir (LCS1) telah berjaya diluncurkan ke permukaan air (downslip) mengikut jadual kontrak pada 23 Mei lepas.

“Pada masa ini LCS1 telah pun memulakan fasa setting to work (STW) bermula Mei lalu serta dirancang menjalani aktiviti pelayaran pertama Disember akan datang.

Bagi LCS2, kapal ini juga telah diturunkan ke air pada 8 Mei dan sedang meneruskan kerja pembinaan dan dirancang memulakan aktiviti STW pada September ini,” menurut kementerian itu lagi.

Pembinaan LCS3 hingga LCS5 masih mengikut perancangan dengan LCS3 dijangka diserahkan kepada TLDM pada 2027, manakala penyerahan kapal seterusnya adalah selang lapan bulan, sehingga LCS5 siap sepenuhnya pada 2029.

SYUHADA BINTI CHEK HASHIM