KUALA LUMPUR, 15 Jun- Program Komuniti 4 Anti-Aedes (K4A): Misi Bersih, Komuniti Ceria anjuran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam dilaksana sebagai usaha mempertingkat kesedaran wabak denggi dalam komuniti, selain memperkasa aspek kesihatan awam.
Menurut Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Hasrolnizam Shaari berkata masalah denggi berpunca daripada pengurusan kebersihan dan persekitaran yang tidak efisien.
Justeru, program tersebut dilaksana bagi memperkukuh amalan pembersihan berjadual di setiap kawasan kediaman.
"Masalah denggi ini berpunca daripada isu-isu kebersihan dan serta tahap keberkesanan pengurusan persekitaran sedia ada. Jadi, ia menuntut komitmen penduduk setempat untuk menjaga kebersihan dan menguruskan bahan-bahan buangan dengan cara yang betul.
Selain itu, memastikan potensi pembiakan nyamuk Aedes ini boleh dihapuskan melalui kaedah gotong-royong, menyediakan tempat pembuangan yang betul dan amalan kitar semula," kata Hasrolnizam kepada pemberita, hari ini.
Lebih 300 orang peserta terdiri daripada pelajar, pensyarah, petugas kesihatan, pemimpin komuniti serta penduduk setempat menyertai program tersebut yang berlangsung di Pasar Puri Pandan Mewah, di sini, pagi tadi.
Antara aktiviti lain yang diadakan termasuk kempen pendidikan kesihatan, pameran, ceramah kesihatan dan pelancaran pusat pengumpulan barangan buangan bernilai, "Trash to Cash".
Pertandingan “Mencari Titik Pembiakan Jentik-Jentik” turut dianjurkan, memberi pendedahan awal terhadap kanak-kanak tentang bahaya denggi.
Sementara itu, Pensyarah Fakulti Sains Kesihatan dan Persekitaran UiTM, Profesor Madya Dr. Nazri Che Dom menjelaskan bahawa penglibatan pelajar dalam program tersebut penting agar dapat diaplikasikan secara praktikal dalam komuniti.
"Ini adalah salah satu tugasan yang diberikan kepada pelajar untuk menggerakkan program-program komuniti. Dengan pelaksanaan program ini secara tidak langsung ia akan memberikan pendedahan kepada pelajar untuk dekat dengan komuniti bagi melaksanakan program-program tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti ini," jelas Dr. Nazri.
Menerusi inisiatif itu, MPAJ berharap kesedaran masyarakat terhadap kebersihan dan pengurusan sisa dapat ditingkatkan sekali gus mengurangkan kes denggi dalam komuniti.