fb fb fb fb fb

Elak pemasangan bahan kempen PRU15 di premis atau pepasangan elektrik TNB

(Foto hiasan)

KUALA LUMPUR, 3 November- Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengingatkan parti-parti politik agar tidak memasang bahan kempen di premis dan pepasangan elektrik milik syarikat itu sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Kenyataan Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB Wan Nazmy Wan Mahmood menyebut "perbuatan itu boleh mengundang bahaya dan mengakibatkan renjatan elektrik serta mengancam nyawa."

Selain itu, ia boleh menyebabkan gangguan bekalan elektrik jika percikan arka berlaku sehingga merosakkan harta benda bahkan boleh mengancam nyawa.

Pemasangan bahan-bahan kempen itu juga boleh menghalang warga kerja TNB mendapat akses untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pemulihan bekalan.

TNB menjelaskan larangan itu termasuk menampal atau menggantung poster, bendera dan sepanduk di menara penghantaran, tiang elektrik, peti pembekal, pencawang, tiang elektrik konkrit dan talian atas.

(Foto hiasan)

Orang ramai juga dinasihati agar tidak memegang, membawa atau memasang tiang bendera di bawah talian penghantaran elektrik termasuk tiang bendera yang diperbuat daripada buluh yang boleh menyebabkan renjatan elektrik.

Beliau turut menegaskan "aktiviti berbahaya ini juga menyalahi peruntukan Seksyen 37, Akta Bekalan
Elektrik 1990 (Akta 447), iaitu merosakkan pepasangan elektrik."

TNB akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dan pihak berkuasa untuk menurunkan bahan kempen pilihan raya yang berisiko
menimbulkan bahaya dan masalah kepada pengguna.

Media Baharu