fb fb fb fb fb

Elak mayat terkena jentera pengaut, proses gali tanah dilakukan secara berperingkat

(FOTO FAIL)

BATANG KALI, 18 Disember - Proses penggalian tanah runtuhan menggunakan jentera pengaut di tapak perkhemahan Batang Kali dijalankan secara berperingkat bagi mengelakkan jentera mengenai mayat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata pada peringkat awal pihaknya akan mengorek dan mengeluarkan tanah runtuhan sedalam tiga atau empat kaki untuk memudahkan mayat mangsa dikesan.

(Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis)

"Kita percaya mayat mangsa berada antara tanah runtuhan dan tanah asal. Peringkat awal hendak keluarkan tanah runtuhan ini lebih kurang 3, 4 kaki. selepas itu kita akan buat pemeriksaan melalui K9 atau secara manual.

"Jika tiada tanda menunjukkan mayat, kita akan gali secara perlahan dan hadkan korekan tanah itu secara perlahan untuk mengelakkan mayat terkena dengan jengkaut tanah," katanya dalam sidang media di lokasi kejadian, di sini.

Tambah Norazam, proses penggalian tanah runtuhan juga dipantau seorang anggota pasukan penyelamat yang akan memberi panduan dan arahan mengenai cara-cara penggalian dilakukan.

Setakat pagi tadi, lapan unit jentera pengaut digerakkan ke lokasi dan berkemungkinan ditambah mengikut kesesuaian.

Media Baharu