fb fb fb fb fb

Johor teliti semula SOP tapak perkhemahan dan kawasan tumpuan

KOTA TINGGI, 18 Disember-Kerajaan Johor akan meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) tapak-tapak perkhemahan dan kawasan tumpuan umum negeri itu, sebelum
membenarkan sebarang aktiviti rekreasi serta perkhemahan berikutan kebimbangan berlakunya bencana alam.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, Kesemua 16 Pihak Berkuasa Tempatan(PBT) negeri itu akan berbincang bagi memastikan SOP tapak-tapak perkhemahan atau tempat tarikan umum dipatuhi.

"Di peringkat PBT, saya sedang dapatkan senarai nama kawasan-kawasan perkhemahan. Ada satu di Mersing dan kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru, Iskandar Puteri, Pasir Gudang tiada kawasan yang berbentuk perkhemahan. Jadi memang wajib mohon untuk rekreasi", katanya kepada media selepas menghadiri pelancaran Rancangan Khas Kawasan di Pantai Teluk Mahkota, Kota Tinggi.


(Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor / FOTO RTM)

Terdahulu, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) melaporkan 24 mangsa tragedi runtuhan tanah di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm di Batang Kali disahkan meninggal dunia sehingga pagi tadi, manakala sembilan lagi mangsa masih belum ditemukan.


Insiden sekitar jam 2.42 pagi  Jumaat itu melibatkan runtuhan sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) giat dilakukan sejak awal pagi Jumaat, melibatkan Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa, Ampang, Pandan, Kota Anggerik, Kajang dan Andalas serta Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM).

Media Baharu