fb fb fb fb fb

Elak manipulasi, prosedur pengurusan tanah di Selangor akan diperketat

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Januari- Prosedur pengurusan tanah di negeri Selangor akan diperketat bagi menutup sebarang ruang manipulasi, susulan insiden pemindahan milik tanah secara tidak sah yang berlaku di Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Klang.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata kerajaan negeri memandang serius kelemahan dalam sistem sedia ada.

Katanya, meskipun insiden itu berlaku sekali sahaja di PTD berkenaan, ia harus ditangani dengan segera agar perkara seperti itu tidak berulang.

"Kesalahan ini dilakukan ketika peralihan daripada e-Tanah, pengurusan tanah secara biasa kepada e-Tanah dan bukan itu selalu dibuat, sekali sahaja.

"Tetapi kita akan menitikberatkan peningkatan prosedur seperti proses keluar masuk data supaya ruang untuk memanipulasikan sistem dapat ditutup sepenuhnya", katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri juga akan mengambil tindakan disiplin terhadap mereka yang terlibat sekiranya terbukti bersalah.

"Sebab ia bukan satu kerja mudah dan tidak mungkin dilakukan seorang diri. Kemungkinan terdapat komplot antara beberapa individu termasuk daripada jabatan IT atau jabatan lain.

"Menjadi satu sindiket, tetapi itu dapatan awal. Saya tak nak hukum, lalui proses undang-undang", katanya kepada pemberita selepas melawat tapak Projek Green House di Kebun Komuniti Kampung Baru Batu Caves dan Taman Batu Caves.

Sebelum ini, media melaporkan polis membongkar kegiatan memindah milik tanah secara tidak sah membabitkan 'orang dalam' di PTD Klang.

Ia membawa penahanan 17 individu kerana disyaki terbabit kartel berkenaan membabitkan tanah seluas 9.4 hektar bernilai RM7.1 juta.

Sementara itu, Projek Green House berkenaan adalah sebahagian daripada Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan 2024.

Komuniti Kampung Baru Batu Caves bersama Institut Penyelidikan dengan kerjasama Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), melaksanakan projek tersebut di Taman Batu Caves.

"Alhamdulilah ini banyak membantu pembangunan komuniti di sini. Ini juga sebahagian daripadanya, nanti boleh dikembangkan dalam Sejati MADANI, saya rasa ada peruntukan MADANI yang boleh dimanfaatkan untuk aktiviti yang ada, bukannya tiada, kita boleh tambah untuk hidroponik atau penternakan ikan", katanya.

Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata projek tersebut dilaksanakan di 50 lokasi terpilih seluruh negara. 

Teknologi yang diperkenalkan ialah Microfarm dan Greenkit yang menggunakan konsep pengairan sendiri untuk meningkatkan produktiviti tanaman dalam ruang terhad.

ROSLINA BINTI DIN