fb fb fb fb fb

1,000 pelajar Parlimen Bandar Tun Razak terima sumbangan kelengkapan sekolah

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Januari- 1,000 pelajar dari sekolah menengah dan rendah di Parlimen Bandar Tun Razak terpilih untuk menerima beg sumbangan Yayasan MyPrihatin serta baucer Pusat Pakaian Hari-Hari bernilai RM100 menerusi sumbangan oleh Amanah Ikhtiar Malaysia, Tenaga Nasional Berhad, dan Yayasan Gerbang Bandar Tun Razak.

Isteri Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata sumbangan itu bagi meringankan beban ibu bapa dalam persediaan memasuki sesi persekolahan bagi tahun 2025 yang akan bermula pada 17 Februari ini.

"Kita mahu pendidikan ini diberikan tumpuan supaya anak-anak terutamanya di Bandar Tun Razak diberikan peluang yang terbaik.

"Insya-Allah kita cuba bantu mana yang terbaik untuk anak-anak ini," katanya.

Wan Azizah turut menyerahkan replika cek kepada 24 buah sekolah rendah dan menengah di Parlimen Bandar Tun Razak, yang akan diserahkan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), bernilai RM5,000 setiap sekolah.

Jumlah sumbangan kepada PIBG adalah sebanyak RM120,000, yang disalurkan melalui akaun bank PIBG setiap sekolah.

Terdahulu, Wan Azizah menyempurnakan Program Kembali Ke Sekolah Dan Penyerahan Sumbangan Khas Kepada PIBG Sekolah-Sekolah Parlimen Bandar Tun Razak di sini.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM