fb fb fb fb fb

Kerjasama strategik Persekutuan-Sabah, tingkat kualiti bekalan elektrik

Foto FB Fadillah Yusof

TUARAN, 26 Januari- Kerajaan Persekutuan komited dan menyokong agenda pembangunan penjanaan elektrik di Sabah bagi memastikan rakyat menerima manfaat, di samping sistem pembekalan elektrik yang lebih stabil dan terjamin.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air,  Datuk Seri Fadillah Yusof optimis dengan pendekatan strategik kerajaan Sabah dalam mengurangkan masalah bekalan elektrik, sekali gus meningkatkan rezab margin bekalan itu sehingga 30 peratus menjelang 2030.

"Saya melihat bahawa perkara ini sedang berlaku di negeri Sabah, dengan komitmen daripada kepimpinan negeri, berdasarkan apa yang saya sendiri alami, di mana ketua menteri dan menteri-menteri sentiasa berhubung untuk mencari cara bagaimana kita secara bersama, antara Persekutuan dan kerajaan negeri, dapat menjalin hubungan yang lebih baik.

"Ini bukan sahaja untuk meningkatkan kadar ekonomi negeri, tetapi juga untuk meningkatkan kemudahan kepada negeri dan rakyat kita," katanya ketika berucap pada Program Sabah Electricity Bersama Komuniti serta Rumah Terbuka Krismas 2024 dan Tahun Baharu Cina 2025 di sini hari ini.

Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) telah memperuntukkan kos projek RM8.77 bilion bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) dengan tahun ini peruntukan tahunan sebanyak RM561.4 juta telah disediakan.

Daripada jumlah tersebut, sejumlah RM102.9 juta, diperuntukkan untuk pelaksanaan dan penyiapan projek-projek pengukuhan perkhidmatan bekalan elektrik di Sabah.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM