fb fb fb fb fb

UMT lancar pelbagai inisiatif strategik berimpak tinggi

Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim/ BERNAMA

KUALA NERUS, 25 Oktober - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai universiti peneraju kelestarian negara dengan melancarkan pelbagai inisiatif strategik berimpak tinggi.

Ia merangkumi tenaga boleh diperbaharui, pemeliharaan alam semula jadi dan pembangunan komuniti.

Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata antara inisiatif utama yang diumumkan ialah penganjuran Sultan Mizan World Blue Economy Forum 2026, yang dijadual berlangsung September tahun hadapan.

Forum berprestij itu bakal menghimpunkan pemimpin global, penggubal dasar, penyelidik dan penggiat industri bagi membincangkan masa depan Ekonomi Biru yang mampan dan berdaya saing.

Selain itu Taman Pendidikan Bakau UMT-ETIQA turut dilancar sempena Santapan Petang Istiadat Konvokesyen UMT ke-23.

Projek bernilai RM500,000 itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 20,000 warga kampus dan komuniti setempat setiap tahun, selain meningkatkan kesedaran awam terhadap pemuliharaan ekosistem bakau.

Majlis penyampaian sumbangan zakat, wakaf dan endowmen berjumlah RM3.3 juta daripada pelbagai agensi turut diadakan.

Sumbangan itu akan dimanfaatkan melalui Pusat Ihsan UMT bagi menyokong kebajikan pelajar dan pembangunan akademik universiti.

Majlis pelancaran disempurnakan Canselor UMT, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Sempena Istiadat Konvokesyen Ke-23, lebih 2,500 graduan bakal diraikan mulai esok hingga 29 Oktober ini di Dewan Sultan Mizan.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN