KUALA NERUS, 25 Oktober - Perbezaan fahaman politik tidak boleh dijadikan alasan untuk umat Islam berpecah belah.
Sebaliknya, ia mesti menjadi wadah penyatuan dan pembangunan masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata kegagalan mengurus perbezaan fahaman politik secara beradab hanya akan melemahkan kekuatan ummah dan mencemarkan nilai Islam.
Justeru, Kongres Ulama dan Ilmuwan Terengganu 1.0 menjadi platform penting menekankan tanggungjawab ulama dan ilmuwan bagi mengembalikan fungsi politik sebagai instrumen penyatuan.
"Kita mungkin boleh berbeza daripada sudut politik tetapi yang penting adalah politik itu tidak seharusnya membawa kita kepada perpecahan. Adab-adab, ikhtilaf, perbezaan pandangan itu sangat penting.
"Jadi sepatutnya parti ini digunakan untuk menyatukan masyarakat dan umat khususnya di negara kita ini. Penekanan juga diberikan daripada sudut politik pembangunan, ia tidak boleh dipisahkan sebab Islam, satu agama yang asas dia itu sangat penting," kata beliau selepas merasmikan Kongres Ulama dan Ilmuwan Malaysia dan Majlis Menandatangani MoU Penterjemahan Eksiklopedia Hadis Nilai Jilid 1 hingga 4, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Datuk Dr. Mohd Na'im berkata semua resolusi kongres bertemakan ‘Politik Perpaduan dan Politik Pembangunan’ itu akan dilaksana bersama agensi agama di bawah kerajaan persekutuan.