fb fb fb fb fb

Afrika Selatan gesa komuniti antarabangsa bertindak selamatkan Gaza

FOTO FB ANWAR IBRAHIM

PUTRAJAYA, 25 Oktober - Keputusan Afrika Selatan membawa tindakan undang-undang terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung kekejaman di Gaza berpaksikan keyakinan moral serta pengalaman negara itu menentang dasar aparteid.

Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa berkata, situasi di Gaza bukan sekadar konflik bersenjata tetapi satu bentuk pembunuhan beramai-ramai yang berlaku secara terang-terangan di hadapan masyarakat dunia, selain menuntut tindakan segera komuniti antarabangsa.

“Kami tahu bagaimana rasanya hidup di bawah penindasan. Apa yang berlaku di Gaza mengingatkan kami kepada pengalaman getir kami dahulu,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Seri Perdana, di sini hari ini.

Ramaphosa turut menghargai sokongan Malaysia terhadap pendirian tegas Afrika Selatan mempertahankan hak rakyat Palestin, sambil menegaskan bahawa perjuangan menentang kezaliman perlu dikongsi oleh semua negara yang berpegang kepada nilai kemanusiaan.

Dalam pertemuan dua hala itu, kedua-dua pemimpin turut bersetuju memperkukuh kerjasama dalam pelbagai sektor termasuk perdagangan, pelaburan, pendidikan, pertanian dan pertahanan, di samping meneruskan solidariti bersama dalam isu Palestin di peringkat antarabangsa.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM