fb fb fb fb fb

Elak kecuaian, cadangan larang guna cermin gelap kuasa MOT- Nancy

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri/BERNAMA

JOHOR BAHRU, 20 November- Cadangan larangan penggunaan cermin gelap bagi mengelakkan kes kecuaian kanak-kanak di dalam kenderaan persendirian sehingga menyebabkan kematian hanya boleh dimuktamadkan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT). 

Bagaimanapun, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pandangan tersebut telah disuarakan kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke untuk diperhalusi. 

"Terpulanglah kepada pihak yang berkenaan untuk melihat itulah yang menjadi salah satu daripada puncanya, tapi bukan kami yang minta tapi permintaan, saya berbincang juga dengan menteri tetapi secara kasual untuk beliau melihat perkara ini sama ada ini satu perkara yang perlu diambil tindakan sewajarnya kerana kita belum tahu sama ada itu menjadi puncanya", katanya.

Sebelum ini KPWKM mempertimbangkan cadangan untuk melarang penggunaan cermin gelap bagi mengelak kematian kanak-kanak yang ditinggalkan di dalam kereta. Ia susulan kejadian tiga kanak-kanak maut sejak dua bulan lalu gara-gara kecuaian tersebut.

Beliau berkata demikian selepas Sambutan Hari Kanak-kanak Peringkat Kebangsaan di Johor Bahru. 

ROSLINA BINTI DIN