KLANG, 20 November- Tol percuma bermula tengah malam ini bagi pengguna lebuh raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) yang memasuki laluan Seksyen 6 dari Plaza Tol Bandar Bukit Raja Utara ke Plaza Tol Assam Jawa atau arah sebaliknya.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexendar Nanta Linggi berkata pengecualian tol itu akan berakhir pada pukul 11.59 malam, 2 Januari 2024.
"Ia susulan pembukaan laluan di persimpangan bertingkat Bandar Bukit Raja Utara ke persimpangan bertingkat Assam Jawa WCE bermula pada pukul 12.01 tengah malam ini.
"Kerajaan memberi tol percuma itu dengan mengambil kira beberapa faktor antaranya cuti sepanjang Disember ini," kata Alexendar selepas majlis perasmian pembukaan WCE.
Tambah Alexendar, WCE dijangka dapat menjimatkan masa perjalanan dari Kapar, Klang ke Assam Jawa, Ijok yang mengambil masa hanya 15 minit berbanding 45 minit sebelum ini.