fb fb fb fb fb

Elak ajaran sesat, pegang teguh dengan ajaran Islam - TPM

Foto BERNAMA

DUNGUN, 17 Mac- Umat Islam di negara ini dinasihat tidak terjebak dengan ajaran sesat yang boleh merosakkan akidah. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata umat Islam perlu berpegang teguh dengan ajaran Islam.

"Dan kita hendaklah mendukung kepada fatwa yang telah dikeluarkan majlis fatwa peringkat MKI (Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia) dan juga fatwa dikeluarkan kerajaan negeri.

"Pada hemat saya, ajaran yang sebenar ialah ajaran yang mengikut nas dan hadis, kiyas dan ijmal ulama kenapa perlu pergi ke ajaran ajaran yang tidak sahih dan ini mesti dielakkan," kata Ahmad Zahid kepada pemberita di sini.

Terdahulu, Ahmad Zahid mengulas dakwaan gerakan menghidupkan semula ajaran Ayah Pin oleh pengikut-pengikut setianya di Kampung Batu 13, Hulu Besut.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata kerja-kerja 3D iaitu berbahaya, kotor dan sukar yang dikuasai tenaga buruh asing seperti di sektor tanaman sayuran di negara ini perlu dinilai kembali.

"Sistem sedia ketika ini tiada masalah.

"Cuma cara pendekatan terhadap pelaksanaannya sahaja melibatkan agensi, jabatan dan lembaga berkaitan sektor berkenaan harus diberi perhatian.

"Kita tahu bahawa kawasan utama penanaman sayur kawasan-kawasan itu telah diberikan secara 'leasehold', secara sewaan kepada rakyat tempatan.

"Tetapi rakyat tempatan yang memberikan peluang ini kepada rakyat asing.

"Saya fikir kalau perkara ini, sistem itu telah baik dilaksanakan tetapi pelaksaannya itu harus dilihat semula, sudah tentunya bahagian penguatkuasaan, pihak tanah, pihak lembaga tertentu tentu ambil tindakan dan kita harus melihat cara penyelesaiannya secara holistik," katanya.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM