fb fb fb fb fb

Eksport TBB: Pencapaian penting PETRA pacu peralihan tenaga serantau

Foto TNB

KUALA LUMPUR, 13 Disember- Eksport sulung tenaga boleh baharu (TBB) ke Singapura oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) merupakan pencapaian penting Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam memacu peralihan tenaga serantau.

Menurut Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, ia menandakan kejayaan besar PETRA dalam memacu transformasi tenaga hijau di peringkat serantau.

"Selaku pemacu Grid Kuasa ASEAN (APG), Malaysia mahu menyegerakan penggunaan tenaga hijau di rantau ini dan sedang aktif berlibat urus dengan rakan-rakan ASEAN lain untuk mendorong pelaksanaan APG, yang akan memperkukuh saling hubung dan keterjaminan bekalan tenaga antara ASEAN.

“PETRA yakin bekalan tenaga hijau merentasi sempadan ini akan menyokong aspirasi peralihan tenaga negara dan menyumbang kepada komitmen Malaysia dalam menerajui inisiatif integrasi bekalan elektrik rantau ini menerusi APG yang merupakan sebahagian dari agenda utama negara selaku Kepengerusian ASEAN 2025,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan, menegaskan eksport itu mencerminkan komitmen TNB terhadap matlamat tenaga lestari ASEAN.

"Dengan kapasiti saling hubung 1,000MW antara Malaysia dan Singapura, eksport ini menggalakkan pelaburan baharu dalam tenaga boleh baharu serta mengukuhkan integrasi tenaga ASEAN," katanya.

TNB hari ini mencatat sejarah hari ini dengan memulakan eksport sulung TBB ke Singapura.

Langkah itu direalisasikan hanya empat hari selepas TNB dan Sembcorp Power Pte Ltd Singapura menandatangani Perjanjian Pembekalan Tenaga Boleh Baharu (RESA) pada 9 Disember 2024.

Di bawah perjanjian tersebut, Singapura mengimport 50MW tenaga hijau yang disertakan sijil TBB.

Kejayaan berkenaan adalah sebahagian daripada Skim Jualan Elektrik Rentas Sempadan yang menyokong inisiatif APG.

BERITA BERKAITAN: 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM