fb fb fb fb fb

Eksport lada negara meningkat 7.7 peratus

Timbalan Menteri Datuk Chan Foong Hin (tengah) menyempurnakan gimik perasmian Majlis Kempen Penggunaan Lada Malaysia 2024 di KSL City Mall/ BERNAMA

JOHOR BAHRU, 20 September- Jumlah eksport produk lada negara meningkat 7.7 peratus, dalam tempoh Januari hingga Julai lalu, ia melibatkan nilai RM86.4 juta, berbanding RM80.2 juta dalam tempoh sama, tahun lalu.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, pencapaian itu hasil permintaan yang semakin meningkat terhadap produk lada negara.

Kadar tanaman lada negara juga meningkat kepada 8,215 hektar pada tahun ini, berbanding 8,172 hektar pada tahun lalu.

Pertumbuhan positif juga direkodkan terhadap bilangan pekebun lada, yang meningkat kepada 39,137 orang.

"Justeru Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) mempelawa sebarang bentuk kerjasama, dan perkongsian daripada pelbagai pihak khususnya mengenai teknologi dan kepakaran.

"Supaya ia dapat diadaptasi oleh usahawan tempatan dalam penghasilan produk hiliran lada berkualiti bagi menembusi pasaran domestik dan antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Perasmian Kempen Penggunaan Lada Malaysia Tahun 2024 di sini.

Dalam pada itu beliau juga memaklumkan nilai perdagangan lada Malaysia ke Singapura meningkat sebanyak 40 peratus, iaitu kira-kira RM8.2 juta, dalam tempoh Januari hingga Julai lalu.

Pihaknya sedang menjalankan Kempen Penggunaan Lada Malaysia 2024 di Johor Bahri, bagi memperkasa pasaran lada negara, susulan lokasi daerah itu bersempadan dengan Singapura.

Ketika ini, Jepun menjadi negara yang menerima eksport lada tertinggi dari Malaysia, diikuti Singapura, China, Korea dan Sweden.

Pada masa sama kementerian itu juga akan menjalankan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) serta pemasaran, berhubung produk hiliran lada negara, sekiranya menerima peruntukan daripada Belanjawan 2025.

Menurut Chan, permintaan bagi usaha tersebut diterima daripada Lembaga Lada Malaysia (MPB) dan mempunyai potensi dalam menghasilkan produk unik berasaskan lada yang bersesuaian dengan pasaran tertentu.

"Kita tidak boleh berhenti, jadi kita mesti melakukan sesuatu yang memberi nilai tambah. Saya juga sempat mencuba minyak wangi yang mempunyai asas lada (pepper) dan saya rasa produk seperti itu mempunyai kelebihan tersendiri," katanya lagi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI