fb fb fb fb fb

12 projek Kampung Angkat MADANI dijangka siap pada Disember

Nik Nazmi Nik Ahmad membuat lawatan kerja ke Kampung Aril, Kota Bharu

KOTA BHARU, 20 September- Sebanyak 12 projek pembangunan untuk program Kampung Angkat MADANI di Kampung Aril, di sini yang dilaksanakan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dijangka siap hujung tahun ini.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, projek yang memanfaatkan kira-kira 2,200 penduduk itu melibatkan peruntukan keseluruhan bernilai RM2.5 juta.

"Antaranya NRES telah memperuntukkan RM210,000 kepada Jabatan Alam Sekitar untuk kerja-kerja pembersihan dan mengecat baru tembok susur tangan jambatan serta mencuci tali air dan tebing.

"Kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf tempat pembuangan sampah juga dilakukan dan pemasangan tempat pengumpulan buangan e-sisa serta buangan kitar semula," katanya dalam sidang media selepas membuat lawatan kerja ke Kampung Aril, di sini

Inisiatif berkenaan dilihat akan menggalakkan aktiviti kitar semula dan menyediakan tempat pembuangan barang elektronik secara teratur dan selamat.

Dalam pada itu Nik Nazmi juga menasihatkan orang ramai supaya peka dengan amaran dan ramalan cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET).
 
Perkara itu berikutan musim Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka melanda negara pada November depan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI