fb fb fb fb fb

Lawatan Agong ke China perkukuh hubungan diplomatik setengah abad

Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR, 20 September- Yang di-Pertuan Agong Malaysia Sultan Ibrahim mengadakan lawatan negara selama empat hari ke China, menandakan satu langkah penting dalam mengukuhkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara selama setengah abad.

Penceramah jemputan pada program “The Nation ASEAN+” di Bernama TV pada Jumaat, pembaca berita China Global Television Network (CGTN) Hou Na menekankan bahawa lawatan Sultan Ibrahim akan meningkatkan pertukaran budaya dan hubungan rakyat antara negara Tembok Besar dan Malaysia.

"Presiden Xi Jinping berkata China dan Malaysia adalah jiran yang mempunyai persahabatan berusia ribuan tahun; sahabat dengan hati yang terhubung dan rakan kongsi untuk kerjasama menang-menang. Oleh itu, lawatan negara Seri Paduka Baginda adalah penting bagi kedua-dua negara dan disambut hangat oleh rakyat China," katanya dalam segmen bertajuk “Lawatan Bersejarah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke China.”

Sultan Ibrahim tiba di Beijing pada Khamis untuk lawatan negara empat hari ke China atas jemputan Presiden Xi Jinping. Ini merupakan lawatan negara sulung Seri Paduka Baginda ke China selepas menaiki takhta pada 31 Jan 2024.

Ia merupakan lawatan pertama raja Malaysia ke China dalam tempoh lebih sedekad, menjadikannya acara penting bagi kedua-dua negara.

Menurut Hou Na, lima dekad hubungan diplomatik antara China dan Malaysia telah mencatatkan beberapa pencapaian yang menonjol, menjadikan China rakan dagang terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut dan sumber pelaburan utama.

Jumlah dagangan telah melonjak daripada kurang US$200 juta setengah abad lalu kepada lebih US$190 bilion tahun lepas, menandakan peningkatan 950 kali ganda, katanya.

Hou Na berkata pengecualian visa bersama antara China dan Malaysia pada Disember tahun lepas telah memberi manfaat kepada perjalanan antara kedua-dua negara, dengan lebih 1.47 juta pelancong China melawat Malaysia tahun lepas - menjadikan China sebagai sumber pelancong terbesar ke Malaysia di luar ASEAN.

Tahun ini, lebih 275,000 pelancong China melawat Malaysia setiap bulan, yang merupakan kemajuan besar dan luar biasa dalam tempoh setengah dekad, tambahnya.

Menurut Hou Na, sejak setengah dekad yang lalu, Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) menjadi pemangkin dalam kerjasama ekonomi dan membentuk kerjasama yang teguh antara kedua-dua negara.

China melabur dalam pelbagai projek di Malaysia termasuk Laluan Rel Pantai Timur, Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China, Saluran Paip Gas Trans-Sabah serta pelbagai perkembangan ekonomi lain yang akan mengubah landskap ekonomi negara, katanya.

Hou Na menambah BRI juga telah berkembang melangkaui inisiatif infrastruktur dengan Jalan Sutera Kesihatan, Jalan Sutera Digital dan Jalan Sutera Hijau. Jalan Sutera Kesihatan telah memberi manfaat kepada Malaysia semasa pandemik COVID-19 menyaksikan China membekalkan vaksin kepada Malaysia dan memberikan sokongan dalam penyelidikan dan pengeluaran vaksin Malaysia.

Lawatan Sultan Ibrahim akan menjadikan China dan Malaysia lebih berhubung pada masa hadapan dan membawa kemajuan yang membuahkan hasil kepada rakyat di kedua-dua negara, katanya.

Kementerian Luar Negeri Malaysia dalam satu kenyataan sebelum ini berkata lawatan Seri Paduka Baginda memberi peluang terbaik kepada kedua-dua pihak untuk menegaskan komitmen bersama dalam memastikan hubungan Malaysia-China terus kekal dengan pendekatan memandang ke hadapan, dinamik dan makmur demi manfaat rakyat kedua-dua negara berdasarkan saling mempercayai dan hormat menghormati.

Ia juga bersempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China, menurut kenyataan itu.

Pada 2023, China mengekalkan kedudukannya sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut, dengan jumlah perdagangan RM450.84 bilion (US$98.90 bilion), menyumbang 17.1 peratus daripada perdagangan global Malaysia.

Perdagangan terus meningkat, dengan separuh pertama 2024 merekodkan nilai RM234.09 bilion (US$49.53 bilion) berbanding RM214.87 bilion (US$48.21 bilion) bagi tempoh yang sama 2023.

Pada suku pertama 2024, sebanyak 24 projek diluluskan dengan pelaburan berjumlah RM3.4 bilion (US$717.7 juta).- BERNAMA

BERITA BERKAITAN:

 

ROSLINA BINTI DIN