IPOH, 20 Januari-Kerjasama maritim antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Laut Perancis (TLP) diperkukuh menerusi pelayaran FS FORBIN dalam Eksesais LA PEROUSE 2025.
Eksesais dengan konsep Field Training Exercise (FTX) itu berupaya mempromosi kerjasama Indo-Pasifik bersama negara-negara ASEAN dengan fokus kepada keselamatan maritim di rantau ini.
Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat dalam kenyataan berkata, eksesais bertujuan meningkatkan keterlibatan maritim antara TLDM dan TLP di laut.
Selain menangani cabaran maritim bersama, demi keselamatan serantau serta memperkukuh hubungan kerjasama kedua-dua pihak.
Eksesais dibahagikan kepada dua fasa melibatkan fasa Pelabuhan pada 13 hingga 15 Januari di Pulau Pinang merangkumi perbincangan operasi, lawatan kapal, interaksi sukan dan majlis resepsi rasmi.
Fasa Laut pula berlangsung pada 16 hingga 18 Januari di perairan Selat Melaka melibatkan latihan peperangan permukaan dan udara serta Photo Exercise (PHOTEX).
Aset TLDM terlibat adalah KD Lekir, KD Gagah Samudera dan Fast Combat Boat TLDM serta dua unit pesawat pejuang Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Sementara itu, aset TLP termasuk kapal FS FORBIN dan pesawat AS565 Panther.
Latihan yang dijalankan bukan sahaja mempertingkat keupayaan taktikal kedua-dua negara tetapi memperkukuh kesiapsiagaan aset dan kompetensi anggota TLDM dalam menghadapi senario maritim yang kompleks.
Eksesais LA PEROUSE 2025 merupakan kerjasama bilateral pertama melibatkan aset TLDM dan TLP selepas kali terakhir dijalankan pada 2021 melalui Passage Exercise (PASSEX) di Selat Melaka.