JOHOR BAHRU, 20 Januari – ASEAN telah bersetuju dengan cadangan untuk mewujudkan kolaborasi pelancongan bersama Australia melalui Mesyuarat Menteri-Menteri Pelancongan ASEAN-Australia.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Roslan Abdul Rahman, berkata pendekatan itu dapat memberi manfaat besar kepada ASEAN berikutan kuasa membeli dan nilai mata wang Australia yang tinggi.
Mesyuarat tersebut turut berpotensi mencari penyelesaian bagi mempermudahkan polisi kemasukan pelancong dari negara ASEAN ke Australia.
Dalam pada itu, MOTAC mengakui terdapat cabaran yang dihadapi oleh pelancong Malaysia untuk memasuki negara tersebut.
Oleh itu, Roslan menyeru rakyat Malaysia yang berada di Australia agar menjaga nama baik negara dengan mematuhi tempoh visa yang ditetapkan.
“Memang rakyat Malaysia dikenali sebagai mereka yang tertib, bersopan santun, dan disambut baik.
"Janganlah satu hari nanti apabila mereka melihat pasport Malaysia, ia menjadi satu kesukaran,” katanya semasa hari terakhir ASEAN Tourism Forum (ATF) di sini.