JOHOR BAHRU, 20 Januari – Pendekatan pelancongan lestari dan pembangunan infrastruktur bagi melindungi warisan semula jadi dan budaya negara oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah membantu Malaysia mengelak daripada terjerumus dalam isu lebihan pelancong (overtourism).
Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Roslan Abdul Rahman, berkata antara pendekatan utama yang diambil adalah memastikan kemasukan pelancong berkualiti yang cenderung untuk tinggal lebih lama dan berbelanja lebih banyak.
Hasil daripada perbelanjaan pelancong ini dapat digunakan untuk membangunkan fasiliti pelancongan dalam negara. Selain itu, pembukaan kawasan pelancongan baharu juga merupakan langkah strategik bagi membendung isu lebihan pelancong.
“Sebagai contoh, di Bali, bagaimana memastikan tiada lebihan pelancong di sana? Kawasan seperti Lombok dibuka untuk mengimbangi pelancongan di sekitar Bali.
"Ini adalah salah satu usaha yang diiktiraf oleh ASEAN, di mana kita perlu membangunkan kawasan pelancongan sekunder dan tertier. Perkara ini turut dibincangkan dalam forum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada hari terakhir ASEAN Tourism Forum (ATF) 2025 yang berlangsung di sini.
Langkah tersebut seiring dengan usaha ASEAN untuk mempromosikan pembangunan pelancongan mampan dan menggalakkan pengurusan pelancongan yang lebih strategik di rantau ini.