PUTRAJAYA, 20 Januari – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali menyeru semua pihak agar tidak mencetuskan spekulasi berhubung isu penjualan sandwich berlabel "ham and cheese" yang didakwa menyalahgunakan logo halal di Universiti Malaya (UM), baru-baru ini.
Menurut beliau, proses siasatan masih berjalan, dan penting untuk semua pihak memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan tugas dengan telus dan adil.
"Saya belum menerima keputusan siasatan itu, dan tiada keperluan untuk keputusan tersebut disampaikan kepada saya. Dalam isu ini, kita perlu memastikan 'due process' berjalan dengan baik mengikut undang-undang. Biarkan siasatan dilengkapkan supaya keadilan dapat ditegakkan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perutusan Hala Tuju KPDN 2025, di sini.
Armizan menegaskan siasatan yang dijalankan melibatkan pelbagai proses, termasuk oleh Jabatan Kimia, bagi memastikan keputusan yang tepat dan menyeluruh.
"Siasatan ini bukan hanya tertumpu pada satu aspek tetapi melibatkan pendekatan menyeluruh. Kita perlu memastikan 'justice is served', jadi biarkan proses ini berjalan hingga selesai," tambahnya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa sebarang perkembangan mengenai siasatan akan dimaklumkan segera untuk meredakan keadaan.