BRUSSELS, 20 Januari-Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan hari kedua lawatan kerja ke Belgium dengan mengadakan pertemuan empat mata bersama Perdana Menteri Belgium, Alexander De Croo.
Kedua-dua pemimpin itu mengadakan mesyuarat selama satu jam di Pejabat Perdana Menteri Belgium di Brussels.
Perbincangan melibatkan usaha-usaha memperkukuh kerjasama dua hala antara Malaysia dan Belgium dalam pelbagai bidang, termasuk perdagangan dan pelaburan serta pendidikan seperti Pendidikan Tinggi dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Selain bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, Perdana Menteri juga turut menyentuh isu Palestin.
Lawatan kerja ini merupakan kunjungan sulung Datuk Seri Anwar ke Belgium selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri.
Dari aspek perdagangan, Belgium merupakan rakan dagang ke-6 terbesar di kalangan negara-negara Kesatuan Eropah.
Sehingga November 2024, jumlah perdagangan di antara Malaysia dan Belgium adalah sebanyak RM10.79 bilion.
Manakala jumlah eksport daripada Malaysia ke Belgium sebanyak RM7.48 bilion dan import dari Belgium sebanyak RM3.31 bilion.