fb fb fb fb fb

KPDN lancar SIM@PAX, tawar servis kenderaan serendah RM99

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali (tiga, kiri) menyempurnakan Program Servis Ihsan MADANI@Petronas Auto Expert pada Majlis Perutusan Hala Tuju Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup 2025 di Putrajaya / Foto Bernama

PUTRAJAYA, 20 Januari – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan ‘Servis Ihsan MADANI@Petronas AutoExpert (SIM@PAX)’, menawarkan khidmat servis kenderaan dengan harga serendah RM99.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata program kolaborasi bersama PETRONAS itu memberikan diskaun antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran semasa.

Tawaran tersebut tersedia pada setiap musim perayaan untuk membantu mengurangkan kos penyelenggaraan kenderaan.

"Program ini memberi peluang kepada pengguna untuk menyelenggara kenderaan sebelum atau selepas perjalanan balik kampung. Diskaun yang ditawarkan merangkumi minyak pelincir mineral dan semi sintetik. PETRONAS juga akan menanggung sebahagian kos buruh untuk servis di AutoExpert," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perutusan Hala Tuju KPDN, di sini.

Program perintis akan bermula menjelang perayaan Tahun Baharu Cina, iaitu dari 24 hingga 28 Januari, di 95 lokasi PETRONAS AutoExpert seluruh negara.

Program tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif 'Payung Rahmah' yang bertujuan meringankan beban golongan berpendapatan rendah dalam menghadapi cabaran kos sara hidup.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN