KUALA PILAH, 20 Januari – Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menerima tiga permohonan representasi yang dikemukakan oleh tiga pembantu pengajar Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB) berkaitan pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak di sebuah madrasah di Kuala Pilah.
Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Adzmi, memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen di hadapan Hakim Surita Budin bahawa representasi tersebut melibatkan tertuduh Muhammad Habib Noh Mohd Zairi, 22; Muhammad Khunais Fathie Khabil, 21; dan Muhammad Fawzun Azim Ismail, 21.
Menurutnya, representasi yang diterima telah dikaji dan diteliti di peringkat tertinggi, dan pihak pendakwaan bersetuju menawarkan pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 377E Kanun Keseksaan.
Dalam prosiding tersebut, peguam Datuk Hanif Hassan yang mewakili ketiga-tiga tertuduh memohon masa untuk berbincang dengan keluarga anak guamnya berkenaan hukuman atau perintah lain yang sesuai.
Mahkamah menetapkan 14 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes, bagi pihak pembelaan memutuskan sama ada untuk meneruskan dengan pertuduhan pilihan serta hukuman alternatif yang ditawarkan atau sebaliknya.
Pada 19 September tahun lalu, ketiga-tiga tertuduh ditahan dalam Operasi Global dan membuat pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak di sebuah madrasah di Kuala Pilah dari tahun 2022 hingga 2023.
Mereka sebelum ini didakwa di bawah Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.