KUALA LUMPUR, 20 Januari – Isu banjir kilat yang sering melanda kawasan bandar kini mendapat perhatian serius, dengan Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) disarankan mengkaji rancangan loji rawatan kumbahan dan rangkaian paip pembetungan yang mampu menangani masalah tersebut..
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir mencadangkan pelaksanaan sistem ‘combined sewer’, yang menggabungkan air kumbahan dan air larian permukaan sebagai langkah proaktif.
"Sudah ada pencapaian dalam menguruskan kumbahan secara moden, seperti loji rawatan bersepadu di Pantai yang turut menyediakan kawasan rekreasi.
"Namun, untuk jangka masa panjang, isu banjir kilat perlu diteliti, termasuk potensi dwifungsi sistem kumbahan dalam mengurangkan risiko banjir," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Projek Pakej D41 dan D42, melibatkan penyambungan premis ke sistem pembetungan awam di Ampang Hilir dan Jalan Damai, di sini.
Akmal turut mencadangkan teknologi ‘deep sewer’ yang berjaya digunakan di Singapura sebagai alternatif untuk menangani masalah banjir.
Pendekatan itu bukan sahaja mampu menguruskan kumbahan, tetapi juga memberi penyelesaian efektif dalam mengurangkan impak banjir.
"Langkah ini mampu menyediakan penyelesaian dwifungsi yang lebih komprehensif untuk masa depan," tambah beliau.