TANAH MERAH, 20 Januari-Penghuni Program Perumahan Rakyat (PPR) digesa untuk membayar yuran penyelenggaraan sebanyak RM12 sebulan bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan di kawasan kediaman mereka.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, penghuni PPR diharap dapat melaksanakan tanggungjawab tersebut agar kerosakan yang berlaku dapat dibaik pulih dengan segera.
Beliau menegaskan bahawa penyelenggaraan kediaman adalah penting kerana rumah tersebut akan digunakan untuk jangka masa panjang.
Ansuran bulanan yang sepatutnya dibayar oleh penghuni adalah sebanyak RM225, manakala yuran penyelenggaraan hanyalah RM12 sebulan, yang dianggap sangat rendah.
Namun begitu, terdapat penghuni yang tidak melunaskan yuran tersebut.
Beliau mendedahkan bahawa tunggakan yuran penyelenggaraan di PPR Kota Bharu sahaja telah mencecah RM700,000.
"Saya difahamkan wang penyelenggaraan yang tidak dibayar menyukarkan proses pemulihan dan penambahbaikan kerosakan yang berlaku di kediaman tersebut," katanya demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Tawaran bagi Peserta PPR Gual Ipoh, di sini, hari ini.
Dalam majlis tersebut, seramai 104 penerima telah menerima surat tawaran penempatan bagi fasa pertama PPR Gual Ipoh, Tanah Merah.
Projek PPR Gual Ipoh melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM80.994 juta yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10.
Projek tersebut merangkumi pembinaan 400 unit rumah kluster setingkat, termasuk empat unit rumah untuk memenuhi keperluan golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Justeru itu, KPKT meminta kerjasama penuh daripada penghuni PPR untuk melunaskan yuran penyelenggaraan bagi memastikan kemudahan yang disediakan dapat terus diselenggara dengan baik.