fb fb fb fb fb

Petugas kaunter sektor awam lebih lima tahun bakal ditukar peranan

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar / Foto Bernama

PUTRAJAYA, 20 Januari – Petugas kaunter perkhidmatan pelanggan dalam sektor awam yang telah berkhidmat lebih lima tahun bakal dipindahkan ke peranan baharu sebagai sebahagian daripada langkah memperbaiki kualiti perkhidmatan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata langkah tersebut akan melibatkan semua agensi berkaitan, termasuk bahagian perkhidmatan pelanggan dan Imigresen, untuk memastikan petugas terlibat mendapat peluang meningkatkan pengalaman kerja mereka.

"Kami memastikan petugas akan dirotasi ke fungsi lain. Jika terlalu lama di kaunter, mereka mungkin tidak dapat menjawab soalan peperiksaan kenaikan pangkat kerana kurang pengalaman operasi sebenar.

"Selain itu, lebih lima tahun di satu tempat boleh menyebabkan stres. Jadi, tugas baharu akan memberi perubahan positif dalam kerjaya mereka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Amanat Ketua Setiausaha Negara 2025 bertemakan Reformasi: Satu Kemestian, di sini.

Shamsul Azri berkata rotasi itu bukan satu inisiatif baharu dan tidak memerlukan pekeliling baru, namun akan dilakukan secara berskala besar kerana ramai petugas telah berkhidmat lebih lima tahun.

Beliau turut menegaskan, agenda reformasi perkhidmatan awam 2025 akan memberi tumpuan kepada tiga teras utama iaitu memperkukuh tatakelola, meningkatkan sinergi, serta memantapkan pemboleh daya reformasi.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN