KUANTAN, 16 Julai - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke demonstrasi akhir eksesais dan majlis penutup Eksesais Jungle Falcon Siri 1/2023 di ladang sawit Felda Panching Selatan di sini, pada Ahad.
Turut mengiringi baginda, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah.
Eksesais Jungle Falcon merupakan eksesais ketenteraan bilateral melibatkan Tentera Darat Malaysia (TDM) bersama United Arab Emirates Land Forces (UAELF).
Seri Paduka ketika bertitah menzahirkan perasaan bangga terhadap kerjasama dan prestasi kedua-dua pasukan pertahanan yang terlibat dengan eksesais itu yang dianggap amat baik sekali.
Baginda bertitah, menerusi latihan itu ia membuka peluang perkongsian ilmu dan kemahiran selain memberi peluang kepada UAELF mendapat pengalaman beroperasi di kawasan iklim tropika.
![](/images/stories/2023/16-23JUL/1607_agong_jungle_falcon_1.jpg)
di majlis penutup Eksesais Jungle Falcon Siri 1/2023 di ladang sawit Felda
Panching Selatan di Kuantan, Pahang / FOTO BERNAMA)
"Saya harap latihan ini akan beri satu kenangan yang berharga dan boleh dibanggakan atas pelaksanaan yang cukup baik walaupun ia berlaku dalam ladang kelapa sawit, bukan dalam hutan yang biasa kita tempur seperti suatu ketika dahulu.
"Terima kasih kepada 4 Briged (Mekanize), ini kali pertama saya melihat dengan mata sendiri banyak aset dalam 4 Briged (Mekanize) yang tunjuk keupayaan sebenar pada hari ini," titah baginda yang turut berharap hubungan baik antara kedua-dua negara dapat dikekalkan.
Eksesais Jungle Falcon telah bermula dari 4 hingga 16 Julai di sekitar Kuantan dengan membabitkan atur gerak anggota infantri bersama aset kenderaan berperisai tempur Adnan, Gempita dan kereta kebal Pendekar yang diketuai oleh Panglima 4 Briged (Mekanize) Brig Jen Mohamad Rafi Mohd.
Operasi eksesais dalam iklim tropika itu membabitkan 50 pegawai dan 536 anggota daripada Batalion Ke-12 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) (Mekanize) serta 19 pegawai dan 116 anggota Batalion Ke-61 Infantri UAELF.