(Kenyataan media Kementerian Kewangan)
KUALA LUMPUR, 16 Julai- Lebih 210,000 penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) berstatus miskin tegar menerusi pangkalan data e-Kasih bakal menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM600 mulai esok.
Sumbangan itu melibatkan negeri Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu, manakala bagi negeri Perlis, Perak, Pahang, Melaka dan Johor pula pada 31 Julai ini.
Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Perpaduan telah memperuntukkan hampir RM130 juta di bawah inisiatif Payung Rahmah bagi membantu golongan kurang berkemampuan terutamanya kumpulan miskin tegar mendepani cabaran kos sara hidup.
"Oleh itu, dengan sumbangan yang diberikan ini dapatlah menampung sebahagian daripada perbelanjaan seharian mereka," katanya dalam kenyataan.
Kaedah pelaksanaannya berupa bantuan barangan keperluan asas tanpa tunai berjumlah RM100 ringgit setiap bulan bagi tempoh enam bulan secara automatik melalui akaun yang dibuka menggunakan MyKad penerima bagi pembelian di pasar raya atau kedai runcit terpilih seluruh negara.
Sementara itu, penerima dari Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan akan mendapat bantuan berkenaan mulai 7 Ogos ini dengan bayaran RM600 secara sekali gus melalui pengkreditan ke akaun bank atau secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN).
"Status kelayakan SARA boleh disemak menerusi portal rasmi STR pada pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my, manakala maklumat lanjut mekanisme pelaksanaan SARA boleh dirujuk menerusi pautan https://www.mykasih.com.my," katanya.
(Foto hiasan)