JOHOR BAHRU, 3 Mei - Masalah kesesakan jalan raya setiap kali musim perayaan terutama ke pantai timur, bakal diselesaikan.
Ia sebaik Laluan Rel Pantai Timur, ECRL siap penghujung tahun 2026.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata masa perjalanan menjadi lebih singkat sekitar empat jam sahaja.
"Untuk jalan balik ke pantai timur ketika musim perayaan memang jauh lebih sesak daripada biasa, pembinaan ECRL ini dapat menyelesaikan masalah dialami.
"Dengan ini masa perjalanan hanya memerlukan sekitar empat jam sahaja dan ini akan membantu rakyat di wilayah berkenaan," katanya.
(Wee ketika bercakap kepada pemberita di Johor Bahru hari ini)
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita ketika ditemui di majlis rumah terbuka Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Saujana, di sini hari ini.
Sementara itu, Wee berkata situasi kesesakan hampir kesemua jalan utama seluruh negara terkawal dan tiada kemalangan dahsyat dilaporkan setakat ini. Situasi itu juga didorong dengan pemberian tol percuma.
"Kita adakan pelbagai kempen keselamatan jalan raya, kita juga menyekat kenderaan berat di jalan utama dan jalan persekutuan kerana apabila dicampur adukkan kenderaan biasa dan berat ini menyebabkan orang tidak sabar, mereka potong itu berlaku kemalangan," katanya.