
KUALA LUMPUR, 3 April – Sisa elektronik atau ‘e-waste’ bukan sekadar melibatkan lambakan sampah biasa sebaliknya merupakan ancaman serius kepada alam sekitar dan kesihatan manusia.
- E-waste mengandungi bahan toksik seperti merkuri dan kadmium, mencemarkan tanah, air dan udara, memberi risiko kesihatan jangka panjang.
- Sindiket penyeludupan mengeksploitasi kelemahan penguatkuasaan; negara menjadi destinasi pelupusan dari negara maju, perlu kukuhkan Dasar Import Nasional.
- E-waste diklasifikasi sebagai Buangan Terjadual SW110; perlu pertingkat pemantauan, lesen kilang, tenaga pakar dan teknologi pengimbas di pelabuhan.
Penasihat Perubahan Iklim CENT-GPS dan Adjung Profesor Kelestarian di Taylor’s Universiti, Dr. Renard Siew, berkata peralatan elektronik seperti telefon bimbit, komputer, televisyen dan peti sejuk yang dibuang secara tidak betul boleh mencemarkan tanah, air serta udara, selain menjejaskan ekosistem selama bertahun-tahun.
Beliau turut menjelaskan, pendedahan kepada bahan toksik seperti merkuri dan kadmium menimbulkan risiko kesihatan yang serius kepada manusia.
“Sisa elektronik yang tidak diurus dengan betul berpotensi mencemarkan tanah dan sumber air, apabila bahan toksik meresap ke dalam ekosistem dan kekal dalam tempoh yang lama. Dari sudut kesihatan komuniti, golongan terdedah termasuk pekerja di tapak pelupusan haram yang berisiko mengalami masalah pernafasan, kerosakan saraf, serta kemungkinan terdedah kepada penyakit kronik.
“Manakala dari sudut keselamatan awam, wujudnya sindiket penyeludupan rentas sempadan membabitkan isu integriti di pintu masuk negara, kapasiti penguatkuasaan, serta jaringan jenayah terancang yang melihat sisa elektronik sebagai aktiviti berisiko rendah tetapi berpotensi keuntungan tinggi,” katanya ketika dihubungi RTM, hari ini.
Tambah beliau, dalam konteks global, Malaysia dilaporkan menjadi antara destinasi pelupusan sisa elektronik dari negara maju berikutan kos pemprosesan yang lebih tinggi di negara asal.
Keadaan ini membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab mengeksport sisa tersebut ke negara membangun dengan mengisytiharkannya sebagai barangan terpakai.
“Sehubungan itu, langkah kerajaan mengetatkan Dasar Import Nasional dilihat sebagai usaha menutup kelompongan dalam sistem sedia ada, selain memastikan kedaulatan alam sekitar dan kesihatan awam terus terpelihara,” tambahnya.
Sementara itu, Pakar Runding Alam Sekitar, Amlir Ayat berkata, menurut undang-undang Malaysia, e-waste dikategorikan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan kod SW 110 dan termasuk dalam Buangan Terjadual.
Beliau menjelaskan, e-waste merangkumi sisa daripada peralatan elektrik dan elektronik yang mengandungi komponen berbahaya seperti akumulator.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan memperkukuh pemantauan terhadap sisa elektronik bagi memastikan pengurusan yang selamat dan terkawal di seluruh negara.
“Misalnya, kita cuba untuk memperkukuh pemantauan terhadap isu-isu e-waste daripada punca. Ini bermakna pihak berkuasa mesti lebih aktif dan tegas dalam memastikan semua punca e-waste dapat dipantau dengan berkesan.
“Selain itu, yang lebih penting ialah memastikan e-waste diurus dengan baik di kilang-kilang yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar. Ini kerana kebocoran masih berlaku dan perlu dipantau rapi. Bagi memperkukuh pengurusan, mungkin perlu ditambah tenaga manusia, kepakaran, atau teknologi. Contohnya, di Pelabuhan Klang, lima kargo scanner digunakan untuk memantau dan mengimbas kontena yang membawa e-waste,” katanya ketika dihubungi RTM hari ini.
Malaysia sedang giat membanteras isu ‘e-waste’ haram melalui operasi besar-besaran Pasukan Petugas Khas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), susulan penemuan ratusan kontena e-waste terbiar di pelabuhan.
Isu ‘e-waste’ bukan sahaja melibatkan alam sekitar, malah berkait rapat dengan tadbir urus, ekonomi dan keselamatan negara.