fb fb fb fb fb

Dunia siber perlu selamat untuk golongan belia wanita - Teo Nie Ching

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching menghadiri Bengkel Girls in ICT 2024 di Menara BAC Petaling Jaya hari ini/Foto FB Teo Nie Ching

PETALING JAYA, 2 September - Golongan belia wanita perlu diberi perlindungan dan keselamatan yang mencukupi ketika menerokai dunia siber, menurut Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.

Nie Ching menjelaskan bahawa penglibatan wanita dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) pada tahun 2021 mencatatkan angka sebanyak 53 peratus.

Namun, beliau menekankan bahawa lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk memastikan keselamatan mereka dalam dunia siber.

Beliau turut menekanan peranan penting para pemimpin dalam memastikan setiap individu, terutamanya gadis dan wanita muda dapat berkembang maju dalam era digital ini.

"Saya rasa apabila kita nak menggalakkan lebih ramai wanita untuk melibatkan diri dalam dunia ICT, ini juga merupakan tanggungjawab kerajaan bersama platform lain untuk memastikan bahawa dunia siber ini adalah selamat

"Memandangkan 94 peratus belia Malaysia berusia 12 hingga 17 tahun berada dalam talian, keselamatan anak-anak kita menjadi keutamaan.

"Kerajaan komited dalam menangani cabaran-cabaran ini dan melindungi belia kita daripada ancaman dalam talian," katanya semasa menghadiri Bengkel Girls in ICT 2024 di sini hari ini.

Nie Ching berkata, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi melindungi golongan ini daripada menjadi mangsa jenayah siber.

Antaranya termasuk penubuhan pasukan khas yang melibatkan Kementerian Komunikasi, Kementerian Digital, Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memastikan tindakan segera diambil terhadap kes-kes jenayah siber.

Menurut statistik, sebanyak 360 kes jenayah siber buli telah dilaporkan pada tahun 2022. Namun, jumlah tersebut meningkat kepada 525 kes yang dilaporkan kepada PDRM pada tahun 2023.

Forum Girls in ICT 2024 bertujuan memperkasakan wanita dalam bidang ICT dan memastikan mereka dapat menerokai peluang-peluang dalam dunia teknologi dengan selamat dan yakin.

 

GRACE AISYAH KEDAYAN