(Anggota bomba mengeluarkan dua warga emas yang dipercayai lemas dalam parit
berhampiran Jalan Kampung Seri Gambut di Pontian)
PONTIAN, 23 Disember- Dua lelaki warga emas maut selepas kenderaan jenis all-terrain vehicle (ATV) yang dinaiki mereka terbabas ke dalam parit berhampiran Jalan Kampung Seri Gambut, Pekan Nanas, di sini, malam tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pekan Nanas, Pegawai Bomba Kanan II Hairon Nizam Zainal berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu kira-kira pukul 7.06 malam.
Dua jentera dengan kekuatan enam anggota dihantar ke lokasi kejadian.
Setibanya di lokasi, kedua-dua mangsa berusia lingkungan 60-an itu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai lemas.
Ketika kejadian, kedua-dua mangsa iaitu penunggang dan pembonceng ATV tersebut dilaporkan sedang beriadah.
Hairon berkata pihaknya memberikan rawatan awal di lokasi, namun tiada tindak balas diterima daripada mangsa.
Kedua-dua mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi.
Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat kira-kira pukul 8.03 malam.
(Dua warga emas menaiki ATV terbabit sebelum terbabas ke dalam parit berhampiran
Jalan Kampung Seri Gambut di Pontian )