KUCHING, 7 Mei - Gara-gara terlalu keletihan, dua Orang Kurang Upaya (OKU) yang terkandas semasa mendaki Gunung Santubong berjaya diselamatkan sepasukan lapan anggota bomba pada petang Jumaat.
Mangsa, Hillary Mupug, 26 tahun dan Meriah Mohamad Huzairi, 25 tahun tidak mampu untuk turun pada tahap lapan gunung terbabit sejak pukul 5 petang.
Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya, Pero Guyuh, melihat situasi itu, mangsa kemudiannya meminta bantuan dari pihak Sarawak Forestry.
"Susulan itu bomba mengaktifkan operasi menyelamat dua OKU terbabit selain dibantu pihak polis dan juga Sarawak Forestry," katanya.
Tambahnya, tempoh dua jam diperlukan bomba untuk sampai ke lokasi pasangan terbabit.
Kedua-dua OKU berkenaan kemudiannya dibawa turun dengan selamat kira-kira pukul 7.30 malam ke kaki gunung tanpa sebarang kecederaan.