SEKINCHAN, 15 Mac- Penduduk Taman Ria di sini yang terjejas akibat ribut bukan sahaja berdepan kerosakan rumah malah perlu menanggung kos baik pulih sehingga RM15,000, sekali gus menjejaskan persiapan mereka menjelang Aidilfitri.
Dalam kejadian Selasa lalu, kebanyakan mangsa trauma melihat rumah mereka musnah dibadai ribut dengan sebahagian besar bumbung tercabut dan siling runtuh.
Antara mereka, Norazhar Jamaluddin mengakui berdepan cabaran besar untuk membaik pulih rumah ibu bapanya yang rosak teruk.
"Garaj rumah jatuh atas bumbung, kemudian terus ke belakang. Siling semua rosak, sekurang-kurangnya RM15,000 perlu dikeluarkan untuk baik pulih.
"Saya menangis sebab ini rumah mak ayah saya, kalau mereka masih hidup pasti mereka juga sedih. Banyak modal nak keluar, nak sambut raya pun terpaksa fikir semula," katanya.
Sementara itu, Mohd Norhairy Md Sani turut berkongsi pengalaman cemasnya apabila pulang dari kerja dan melihat rumah dalam keadaan yang tidak lagi selamat didiami.
"Bumbung rosak teruk, almari, tikar getah habis basah. Bila nampak keadaan rumah, memang mengejutkan dan ada rasa trauma. Mujur ada bantuan segera, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban kami," katanya.
Bagi Latifah Yusof pula, kejadian itu lebih mencemaskan kerana dia mengasuh anak orang lain di rumahnya ketika kejadian berlaku.
"Bila siling jatuh, kami jadi takut nak duduk dalam rumah. Saya tak pernah alami trauma seperti ini, lebih-lebih lagi bila memikirkan keselamatan anak-anak yang dijaga," katanya.
Kesemua mereka ditemui pemberita selepas menerima bantuan pada Majlis Penyampaian Sumbangan Mangsa Ribut, Masjid dan Surau di Dewan Seri Sekinchan di sini hari ini.
Pada majlis itu, Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim mengumumkan peruntukan RM30,000 kepada 48 keluarga terjejas bagi meringankan beban mereka.
"Hari ini, menerusi inisiatif Pusat Khidmat Masyarakat Pejabat ADUN Sekinchan, kita menyalurkan bantuan secara 'one-off' sebanyak RM500 kepada mangsa yang mengalami kerosakan kritikal, manakala yang lain menerima RM300.
"Kita turut mendapatkan bantuan daripada agensi lain termasuk Unit Bencana Zakat dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) bagi kerja baik pulih rumah. Kita mahu memastikan mangsa menerima bantuan segera bagi membolehkan mereka kembali ke rumah dengan selamat," katanya.
Ketika ini, seramai lima keluarga masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Seri Sekinchan sementara menunggu rumah mereka dibaiki.
Lim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan mengingatkan penduduk agar sentiasa berwaspada dengan kemungkinan ribut susulan cuaca yang tidak menentu di kawasan itu.