fb fb fb fb fb

Wakaf MARA MADANI perkukuh agenda Melayu, Bumiputera

FOTO FACEBOOK Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 15 Mac- Pelancaran Wakaf MARA MADANI hari ini menandakan usaha strategik dalam memartabatkan agenda pembangunan bangsa Melayu dan Bumiputera menerusi instrumen wakaf yang mampan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inisiatif itu membuka peluang kepada Melayu dan Bumiputera untuk membangun serta menentukan masa depan mereka dengan lebih kukuh dan berdaya saing.

Beliau menegaskan wakaf bukan sekadar instrumen ekonomi tetapi sebahagian daripada warisan umat Islam yang berperanan membina kekuatan dari peringkat akar umbi.

"Wakaf MADANI ini menunjukkan bahawa kita bukan sahaja menerima peluang dan peruntukan, tetapi sudah tiba masanya untuk membuktikan bahawa kita adalah bangsa yang bermaruah dan mampu menentukan masa depan sendiri," katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Wakaf MARA sempena sambutan Hari MARA ke-59 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini.

Dalam ucapannya, Anwar turut mengingatkan agar tiada pihak mengambil kesempatan atas nama Melayu dan Bumiputera untuk kepentingan peribadi kerana kelemahan tatakelola boleh menyebabkan dana yang diperuntukkan untuk komuniti berkenaan musnah.

"Jangan gunakan nama Melayu dan Bumiputera untuk mengaut kekayaan peribadi. Jangan ambil peluang atas nama Bumiputera untuk mengkhianati amanah.

"Kita akan lawan dan perangi kumpulan ini. Berapa banyak dana Bumiputera yang musnah akibat kelemahan tatakelola?" tegasnya.

Sementara itu, Perdana Menteri mengumumkan penyaluran geran sebanyak RM100 juta dalam memastikan kelangsungan Wakaf MARA MADANI sebagai modal permulaan bagi membina ekosistem wakaf yang telus, amanah dan lestari.

Dana Wakaf MARA MADANI telah mengumpul lebih RM51 juta hasil sumbangan daripada alumni MARA serta rakan strategik, setakat tengah hari tadi.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

SITI AISHAH MD ISA