PUTRAJAYA, 7 Mei - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan bahawa kementerian itu tidak pernah memperakukan mana-mana produk makanan yang boleh menggantikan ubatan termasuk insulin untuk merawat diabetes.
KKM membuat penafian tersebut menerusi ciapan di Twitter rasminya pada lewat petang Jumaat ekoran dakwaan mengenai perkara itu dibuat satu laman Facebook menggunakan nama 'Ainalienshop-TW'.
KKM berkata, gambar yang digunakan dalam laman Facebook itu untuk mempromosikan produk yang kononnya dapat merawat diabetes merupakan gambar yang telah diubahsuai.
Gambar tersebut memaparkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memegang satu produk yang didakwa dapat merawat penyakit diabetes.
Susulan itu, KKM menyeru agar masyarakat tidak mudah terpedaya dan terpengaruh dengan kenyataan yang tidak diketahui kesahihannya.
"KKM juga sekali lagi ingin menegaskan kepada para pengusaha atau pemilik produk untuk lebih bertanggungjawab dan tidak mengambil kesempatan serta mengelirukan orang ramai," kata kenyataan tersebut.
Ekoran perkara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah turut meluahkan kekesalannya di Twitter rasmi beliau.
"Satu lagi berita palsu disebarkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk kepentingan perniagaan," ciapnya.