LABUAN, 15 Mac- Kerajaan memperuntukkan hampir RM58 juta bagi melaksanakan projek pembangunan di Labuan merangkumi aspek sosioekonomi dan pelancongan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata antara projek utama yang diberi tumpuan ialah pembinaan Waterfront Labuan Fasa 1 bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) dengan peruntukan hampir RM39 juta.
"Waterfront ini ialah satu projek yang kita ambil kira daripada visi Wilayah Persekutuan iaitu Chase City. Selain untuk aktiviti ekonomi di Labuan, ia juga merangkumi elemen seperti Healthy City dan berpotensi menarik pelancong," katanya.
Tapak cadangan terletak di Pantai Victoria Harbour dengan keluasan hampir 14,000 meter persegi. Ia akan dilengkapi esplanad, tempat letak kereta berpusat, serta laluan pejalan kaki (walkway) bagi menyokong pembangunan bandar yang lebih tersusun.
Dalam lawatan kerja itu, Zaliha turut meninjau projek pembinaan infrastruktur mekanikal dan elektrikal sistem kawalan banjir di Kampung Gersik yang kini mencapai 63 peratus kemajuan fizikal dengan peruntukan RM7.9 juta.
Selain itu, kerajaan turut memperuntukkan RM11 juta bagi kerja menaik taraf Jambatan Patau-Patau 1 yang akan memberi manfaat kepada lebih 1,500 penduduk Kampung Pelancongan Labuan.
"Selama ini, penduduk kampung memang menantikan projek ini. Keadaan jambatan yang uzur merisaukan kami, jadi penduduk amat bersyukur atas usaha kerajaan memperuntukkan dana bagi menaik tarafnya," kata salah seorang penduduk, S. Roslee Matusin.
Zaliha turut menyampaikan 150 tangki air bernilai RM82,000 untuk diagihkan kepada tujuh kampung sekitar Labuan sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kemudahan asas penduduk.