BATU KAWAN, 15 Mac- Penunggang motosikal tidak dibenarkan menggunakan laluan kereta ketika melalui Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (JSAHMA) atau lebih dikenali Jambatan Kedua Pulau Pinang ke bahagian pulau bagi memastikan keselamatan mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) Datuk Faisal Shahbudin berkata semua penunggang motosikal perlu mematuhi peraturan dengan menggunakan lorong khas yang telah disediakan.
"Kami meminta semua penunggang motosikal mematuhi peraturan dengan menggunakan lorong khas yang telah disediakan. Langkah ini bertujuan mengurangkan risiko kemalangan yang sering berlaku akibat penunggang memasuki laluan kenderaan lain," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kempen Jom Selamat di laluan masuk JSAHMA di sini hari ini. Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang, Zulkifly Ismail.