fb fb fb fb fb

Labuan capai tahap terkawal dalam isu penyalahgunaan dadah

FOTO HIASAN

LABUAN, 15 Mac- Program Kawasan Berisiko Tinggi yang dilaksanakan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) berjaya mengekang kadar penyalahgunaan dadah di Labuan ke tahap terkawal.

Pengarah AADK Wilayah Persekutuan, Md. Razif Wan berkata usaha bersepadu itu membantu mengawal masalah berkenaan dengan kadar penyalahgunaan dadah kini kurang daripada 0.4 peratus penduduk.

“Kita ada program dipanggil Kawasan Berisiko Tinggi dan Labuan ini mempunyai tiga kawasan berisiko tinggi. Usaha kita bersama-sama Perbadanan Labuan dan beberapa agensi berkaitan berjaya mengurangkan masalah ini ke tahap terkawal, kurang daripada 0.4 peratus penduduknya yang terlibat dengan dadah," katanya.

Md. Razif turut menyeru masyarakat agar mengelakkan sindrom 'Not Me' dan lebih cakna terhadap masalah penyalahgunaan dadah terutama dalam kalangan generasi muda kerana isu berkenaan sering bermula dari rumah.

Beliau ditemui pada Program Sambut Ramadan Jemput Keberkahan Bersama Asnaf di Surau Al-Ikhlasiah, Kampung Belukut di sini petang tadi.

Seramai 60 asnaf di kampung itu menerima bantuan bakul makanan yang disumbangkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kg. Belukut, Asmadi Ahamad.

1503 LBN   AADK AMBIL PEDULI FTP
Md. Razif Wan

SITI AISHAH MD ISA