fb fb fb fb fb

Wakaf MARA MADANI: Sumbangan alumni mampu jana RM360 juta setahun - Zahid

Majlis Peluncuran Wakaf Mara Madani 2025 disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sempena sambutan ulang tahun Mara ke-59 di PWTC hari ini/Foto Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 15 MAC – Seramai 2.8 juta alumni dan produk pendidikan Majlis Amanah Rakyat (MARA) digalakkan menyumbang kepada program Wakaf MARA MADANI (WMM).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini sebagai usaha memperkukuh pembangunan sosioekonomi bumiputera menerusi konsep wakaf dan infaq.

Beliau turut mencadangkan agar setiap individu dalam kumpulan itu menyumbang sekurang-kurangnya RM1 sebulan yang mana mampu mengumpulkan kira-kira RM36 juta setahun jika disertai secara menyeluruh.

"Jika daripada 2.8 juta alumni MARA, setiap seorang menyumbang RM1 sebulan, kita boleh mengumpul sekitar RM3 juta sebulan atau RM36 juta setahun. Tetapi tidak mungkin MARA yang telah memberikan banyak manfaat kepada kita hanya mendapat sumbangan sekecil itu.

"Jika jumlah itu digandakan kepada RM10 seorang, kita boleh mengumpul RM30 juta sebulan atau RM360 juta setahun," katanya.

Beliau turut menekankan bahawa program itu bertujuan memperkasakan agenda Melayu dan Islam tanpa meminggirkan kaum lain.

Katanya, ini selaras dengan aspirasi untuk membangunkan ekonomi bumiputera secara inklusif.

"Agenda Melayu dan Islam perlu dibangkitkan semula tanpa mengetepikan mana-mana kaum lain. Kita wajib memberi respons positif terhadap usaha memperkasa ekonomi dan agenda bumiputera," tambahnya.

Terdahulu, Majlis Peluncuran Wakaf Mara Madani 2025 disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sempena sambutan ulang tahun Mara ke-59, di sini hari ini.

Untuk rekod, WMM adalah agenda pemerkasaan sosioekonomi bumiputera hasil daripada resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 yang diumumkan secara rasmi oleh Perdana Menteri.

Program itu juga menerima kelulusan Kementerian Kewangan berhubung potongan cukai terhad sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat di bawah peruntukan Seksyen 44 11(C) Akta Cukai Pendapatan 1967.

GRACE AISYAH KEDAYAN