KUALA LUMPUR, 15 Mac- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan bahawa kemajuan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) harus seiring dengan pemeliharaan akhlak dan nilai murni bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati secara adil serta bertanggungjawab.
Menurut beliau, pembangunan ekonomi dan kemajuan sesebuah negara tidak bermakna sekiranya aspek tatakelola dan integriti tidak diutamakan.
"Kita boleh bercakap tentang kecerdasan buatan (AI) tetapi asasnya tetap bergantung pada akhlak dan nilai," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Peluncuran Wakaf MARA MADANI di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.
Anwar menyentuh perkara itu ketika mengingatkan semua pihak agar tidak menyalahgunakan nama Melayu dan Bumiputera untuk kepentingan peribadi.
Sementara itu, dalam memastikan kelangsungan Wakaf MARA MADANI, Perdana Menteri turut mengumumkan penyaluran geran sebanyak RM100 juta sebagai modal permulaan bagi membina ekosistem wakaf yang telus, amanah dan lestari.
Setakat tengah hari tadi, dana Wakaf MARA MADANI telah mengumpul lebih RM51 juta hasil sumbangan daripada alumni MARA serta rakan strategik.
Menurut Anwar, institusi wakaf berkait rapat dengan keyakinan, legasi dan warisan umat Islam dalam usaha membina kekuatan dari peringkat akar umbi.
"Wakaf ini merupakan satu institusi yang dikaitkan dengan keyakinan kita, turath, legasi dan warisan kita, dengan maksud membina kekuatan dari akar umbi serta rakyat kita. Dengan kepercayaan bahawa jika kita bekerja sebagai satu pasukan, usaha kecil ini akan menjadi kekuatan besar," katanya.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.