PUTRAJAYA, 15 Mac – Malaysia menegaskan komitmennya dalam menangani Islamofobia secara global dan menyeru tindakan segera untuk membendung sentimen kebencian terhadap Islam yang semakin meruncing.
Bersempena Hari Antarabangsa untuk Memerangi Islamofobia, Wisma Putra menegaskan bahawa peningkatan kebencian, intoleransi, dan keganasan terhadap umat Islam serta minoriti agama lain adalah isu hak asasi manusia yang perlu ditangani secara menyeluruh.
"Fitnah terhadap mana-mana agama adalah pelanggaran hak asasi manusia dan bertentangan dengan semangat Artikel 1 Perisytiharan Hak Asasi Manusia PBB, yang menegaskan bahawa semua manusia dilahirkan bebas dan sama rata dari segi martabat dan hak," menurut kenyataan itu pada Sabtu.
Bagi memastikan usaha menangani Islamofobia lebih berkesan, Malaysia menggesa pelantikan Wakil Khas PBB bagi Memerangi Islamofobia disegerakan.
Selain itu, Malaysia telah mengambil langkah proaktif dengan melantik Penasihat Khas bagi Pembangunan Keamanan, Pendamaian, dan Memerangi Islamofobia, sebagai bukti kesungguhan negara dalam isu ini.
Di peringkat antarabangsa, Malaysia terus memainkan peranan aktif dalam forum seperti Perhimpunan Agung PBB, Majlis Hak Asasi Manusia, dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi memupuk persefahaman serta menggalakkan dialog antara budaya dan agama.
"Kerjasama semua pihak amat penting dalam membentuk masyarakat dunia yang menghormati kepelbagaian serta mengekalkan keamanan dan keharmonian sejagat," tambah kenyataan itu.
Malaysia kekal komited untuk memperjuangkan hak umat Islam di peringkat global dan akan terus menggalakkan budaya toleransi serta keamanan sejajar dengan prinsip hak asasi manusia dan kepelbagaian agama.