KUALA LUMPUR, 27 Oktober - Malaysia dan Rusia bersetuju untuk terus perkukuh sektor ekonomi antara kedua-dua negara, sekali gus membuka peluang kerjasama strategik dalam pelbagai sektor baharu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perbincangan dua hala itu merangkumi bidang pendidikan, perdagangan dan pelaburan, termasuk usaha memudah cara urusan pembayaran rentas sempadan.
"Perjanjian perdagangan yang dimeterai memberi keutamaan tertentu kepada Rusia dan juga China. Namun, kami tetap berpegang kepada prinsip kepentingan ASEAN. Apa yang penting ialah perdagangan dan pelaburan." kata beliau ketika ditemui di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Tambah beliau, perbincangan turut tertumpu kepada potensi peluasan laluan penerbangan dari Rusia ke Malaysia bagi meningkatkan kemasukan pelancong.
Ini selain kerjasama dalam sektor tenaga bagi meneroka sumber tenaga yang lebih cekap dan mampan.
Malaysia akan terus memperkukuh hubungan dengan Rusia berasaskan prinsip saling menghormati dan manfaat bersama, seiring peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dalam memperjuangkan suara, keseimbangan serta kepentingan rantau ini di peringkat global.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Rusia Alexey Overchuk berkata pertemuannya dengan Datuk Seri Anwar itu turut membincangkan perkembangan perdagangan dua hala yang menunjukkan peningkatan memberangsangkan tahun ini.
"Tahun ini perdagangan kami dengan Malaysia berkembang dengan baik selepas sedikit penurunan tahun lalu.
"Kami juga berbincang mengenai kerjasama dalam sektor tenaga, memperkenalkan inisiatif dalam membangunkan rantaian bekalan logistik antara utara dan selatan Eurasia, serta membincangkan isu-isu dua hala yang lain." katanya ketika ditemui pemberita di luar persidangan tersebut di sini.