fb fb fb fb fb

MARA, ACCA dan MyPAC jalin kerjasama perkasa akauntan profesional Bumiputera

Majlis Amanah Rakyat (MARA) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) dan Pusat Akauntan Profesional Malaysia (MyPAC) bagi memperkasa laluan profesional ACCA secara lebih sistematik dan menyeluruh/RTM

KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Majlis Amanah Rakyat (MARA) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) dan Pusat Akauntan Profesional Malaysia (MyPAC) bagi memperkasa laluan profesional ACCA secara lebih sistematik dan menyeluruh, termasuk intervensi awal di peringkat Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Langkah strategik itu bertujuan meningkatkan jumlah akauntan profesional Bumiputera, yang ketika ini masih rendah berbanding keseluruhan tenaga profesional negara.

Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada misi nasional untuk mempercepat peningkatan jumlah akauntan profesional Bumiputera bertaraf antarabangsa.

2710 MOU MARA MYPAC 2Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki/RTM

“Untuk memastikan hasrat kerajaan meningkatkan jumlah akauntan profesional Bumiputera, MARA giat menggerakkan usaha ini melalui institusi pendidikan seperti UPTM, UniKL dan Kolej Profesional MARA.

“Kita mahu anak Bumiputera bukan sekadar berijazah dalam perakaunan, tetapi turut memiliki sijil profesional ACCA bertaraf antarabangsa yang mampu melonjakkan kredibiliti dan angka profesional negara,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian tersebut di sini hari ini.

Setakat ini, daripada lebih 65,000 akauntan berdaftar di bawah Institut Akauntan Malaysia (MIA), hanya sekitar 25,000 memiliki sijil profesional antarabangsa, manakala Bumiputera hanya mencatat kira-kira 3,000 akauntan profesional bertauliah.

Melalui pelaksanaan Program Tajaan Pendidikan Hibrid MARA (MESH) di bawah MoU ini, lima pelajar pertama akan memulakan pengajian pada 2025, diikuti 30 pelajar pada 2026.

Tajaan tersebut merangkumi yuran pengajian, peperiksaan, elaun sara hidup serta penempatan industri di firma perakaunan terkemuka, bagi memastikan pelajar memperoleh pengalaman dan pendedahan industri sebenar.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN