fb fb fb fb fb

PBB sokong Konsensus Lima Perkara ASEAN tangani krisis Myanmar

Setiausaha Agung PBB, António Guterres/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan sokongan padu terhadap Konsensus Lima Perkara ASEAN dalam usaha menyelesaikan krisis di Myanmar, sambil memuji peranan negara anggota termasuk Malaysia dalam memperkukuh kestabilan serantau.

Setiausaha Agung PBB, António Guterres menegaskan kerjasama erat antara PBB dan ASEAN amat penting dalam menangani cabaran kemanusiaan serta politik di rantau ini, khususnya membabitkan konflik Myanmar yang semakin meruncing sejak pengambilalihan kuasa tentera pada tahun 2021.

“Kekejaman dan kitaran impuniti ini mesti dihentikan. Saya sekali lagi menyeru agar keganasan dihentikan serta-merta, disertai komitmen tulen terhadap dialog inklusif dan laluan kredibel ke arah pemerintahan awam, bermula dengan pembebasan segera semua tahanan politik. Pertubuhan Bangsa Bersatu menyokong sepenuhnya Konsensus Lima Perkara ASEAN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Kemuncak ASEAN–PBB ke-15 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.

Guterres menegaskan, penyelesaian jangka panjang di Myanmar mesti berasaskan demokrasi, kedaulatan undang-undang, hak asasi manusia serta penyertaan menyeluruh semua pihak, termasuk komuniti Rohingya yang sekian lama berdepan penindasan.

Dalam pada itu, beliau turut memuji usaha ASEAN mempercepatkan rundingan Kod Tatakelakuan (CoC) di Laut China Selatan, sebagai langkah penting ke arah mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau.

“Saya mengalu-alukan sokongan ASEAN dalam meratifikasi serta melaksanakan perjanjian bersejarah ini. Kita memerlukan penyelesaian yang berkekalan demi keamanan. Saya memuji usaha ASEAN meredakan ketegangan di Laut China Selatan dengan mempercepatkan rundingan mengenai Kod Tatakelakuan (CoC),” ujarnya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Malaysia atas peranannya dalam memudah cara gencatan senjata serta penyelesaian damai antara Thailand dan Kemboja, yang disifatkannya sebagai contoh nyata komitmen ASEAN terhadap keamanan serantau.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN